Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

JKP Mengadakan Majlis Khatam Al-Qur’an

​Sabtu, 06 April 2024M

Bulan Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya namun majlis serta aktiviti keagamaan masih sahaja terus giat dijalankan bagi meraih pahala dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti mengadakan majlis Khatam Al-Qur’an. Khatam Al-Qur’an begitu sinonim dengan bulan Ramadhan dimana ianya menandakan selesainya bacaan seluruh 30 Juzuk dalam Al-Qur’an.

Jabatan Kemajuan Perumahan juga turut sama mengadakan Majlis Khatam Al-Qur’an sempena bulan Ramadhan bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2024 Masihi yang diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma kepada Anak-Anak Yatim dan Orang Berkeperluan Khas bagi warga Jabatan Kemajuan Perumahan.

20240406-KHATAMJKP-5.jpg 


Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Muwafaqah, Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Perumahan, ialah Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Dayang Rosniza binti Dato Paduka Haji Hamdani. Juga hadir, Pemangku Timbalan Pengarah Kemajuan Perumahan Awang Haji Mohd Sufri bin Haji Abd Hamid, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan.

Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan kemudiannya diikuti dengan bacaan Takhtim serta Doa Khatam, Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan derma daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan kepada seramai enam belas orang anak yatim dan sepuluh orang berkeperluan khas sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

20240406-KHATAMJKP-23.jpg 


Majlis Khatam Al-Qur’an adalah merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan Jabatan Kemajuan Perumahan yang di antara lain tujuannya ialah untuk memupuk dan membudayakan amalan membaca Al-Qur’an dalam kehidupan seharian di kalangan warga Jabatan Kemajuan Perumahan.

Attachments